SELEPAS selesai mesyuarat khas yang membincangkan saranan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan muktamar khas untuk menilai kembali tindakan beberapa kerat pemimpin peringkat atasan, ramai pengendali blog melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 70 peratus Ahli Jawatankuasa Pas Pusat akan meletak jawatan jika Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Doktor Hasan Ali tidak dipecat daripada jawatannya.
Berdasarkan perkembangan Pas sejak muktamar tahunan di Selangor Jun lalu, adalah terlalu sukar untuk kita menolak laporan itu, tetapi tidak pula kita terima bulat-bulat kerana hanya mereka yang terbabit dalam mesyuarat itu sahaja tahu hal sebenar. Blog pula, sebagaimana kita ketahui juga mempunyai sumber-sumber yang rapat dengan pemimpin dan AJK Pas pusat dan kebiasaannya, sumber mereka tidak boleh ‘dilubangjambankan’. Paling tidak boleh dinafikan, pengaruh blog memang kuat di kalangan penyokong Pas dan pengundi atas pagar. Kalau tidak, bagaimana pengundi bukan Islam boleh menyokong Pas dan Pakatan Rakyat (PR) sehingga berjaya menawan enam negeri, termasuk Kuala Lumpur.
Semacam hakikat. Selagi bernama pertubuhan politik, isu berpuak-puak tetap berlaku. Cuma tahap perselisihan sahaja berbeza-beza. Ada yang hanya simpan dalam hati, menunjukkan penentangan dengan kata-kata dan paling boleh mewujudkan perpecahan ialah melaksanakan tindakan yang bertentangan dengan kesepakatan majoriti ahli dan pemimpin.
Di dalam Pas, idea kerajaan perpaduan dengan Umno/BN begitu membelit ahli yang cintakan parti sehingga pada awal-awal isu ini didedahkan, ada beberapa cawangan Pas bersedia bubar jika parti itu dan Umno sekali lagi berpeluk cium ketika Parti Keadilan Rakyat dan DAP masih setia dalam gagasan PR. Pas Kelantan pula terang-terangan menentang buah fikiran yang dilontarkan segelintir pemimpin peringkat pusat sehingga naiknya kain rentang ahli yang mahu bersekongkol dengan Umno/BN supaya letak jawatan.
Apabila beratus blog mempersoalkan kewajaran Pas berminat untuk kerjasama politik dengan Umno/BN, mereka pantas menolak tuduhan itu dengan alasan isu berkenaan sengaja diperbesarkan oleh media milik Umno. Persoalannya, benarkah isu itu hanya dimanipulasikan media Umno? Malah, adakah ribut yang sebelum ini melanda ‘rumah’ Pas kesemuanya hasil mainan media dan strategi Umno/BN untuk menghancurkan parti Islam?.
Kalau inilah persepsi ahli bawahan dan pucuk pemimpin Pas yang tidak mahu menerima hakikat parti itu juga terpalit dengan ‘najis-najis yang sengaja diselerakkan’ oleh ahli sendiri, maka slogan ‘Pas For All’ dan cita-cita untuk merampas pusat pentadbiran di Putrajaya lebih sesuai disimpan dalam kopiah atau dalam jubah sahaja.
Menyedari di dalam ‘rumah’ Pas ini terdapat ‘najis-najis berselerakan’ maka Nik Aziz terpaksa melakukan pembersihan agar ‘rumah’ Pas sentiasa dikunjungi masyarakat non Muslims, sekali gus memberi sokongan padu kepada perjuangan Islam yang jelas mementingkan hak asasi, kesamarataan, kebajikan dan keadilan sejagat.
Politik Nik Aziz sememangnya menjangkau usianya. Cadangan beliau supaya diadakan muktamar khas sepatutnya diterima oleh seluruh pemimpin Pas kerana parti itu kini dilihat semakin terasing dengan matlamat perjuangan asal dan semakin jauh dari pengundi bukan Melayu akibat bahaya idea kerajaan perpaduan.
Namun, belumpun mesyuarat khas membincang usul tok guru, beberapa pemimpin Pas peringkat negeri menunjukkan sikap ‘besar kepala’ dengar mengeluarkan kenyataan dalam akhbar bahawa muktamar khas tidak perlu dan tidak masuk akal. Kita mahu tanya kepada pemimpin terbabit; Kalau cadangan tok guru tidak masuk akal, apa pula yang masuk akal? Adakah apabila masalah ini parah seperti nasi sudah menjadi bubur dan pada masa itu segala tindakan tidak berguna lagi, baru dikira masuk akal?
Yang lebih memeningkan ahli, mengapa segelintir pemimpin peringkat pusat ‘fobia’ dengan muktamar khas, sedangkan apa yang dimahukan Menteri Besar Kelantan itu ialah hanya untuk menilai kembali fungsi pemimpin terbabit dan jika sekiranya perwakilan masih mahukan mereka memimpin Pas, maka ahli tetap akur dan sama-sama memperbetulkan hala tuju parti. Kalau alasan muktamar khas boleh menimbulkan perpecahan, bagaimana pula dengan muktamar tahunan yang juga terbabit dengan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden?
Sikap fobia yang ditunjukkan segelintir pemimpin itu seperti ada perkara besar yang mahu dirahsiakan daripada pengetahuan ahli dan pemimpin Pas lain. Ini menyebabkan desakan supaya idea kerajaan perpaduan dengan Umno/BN ‘dikuburkan’ segera nampaknya masih tergantung dan tidak mustahil suatu masa nanti ia akan didendangkan kembali dengan diiringi tarian daripada media arus perdana.
Memang tidak mustahil isu kerajaan perpaduan akan timbul kembali. Ahli peringkat marhain tidak pernah lupa dengan pukulan gagasan kerajaan perpaduan yang dibawa oleh segelintir pemimpin atasan Pas pada muktamar tahunan di Stadium Melawati, Shah Alam pada Jun lalu. Para pemimpin Pas ini cuba memberi penjelasan berhubung idea terbabit sehingga timbul kecaman hebat daripada ahli dan majoriti pemimpin Pas lain.
Selepas desakan dan tentangan yang terlalu kuat daripada majoriti ahli, maka beberapa pemimpin Pas terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa isu ‘kerajaan perpaduan Pas/Umno’ sudah ditutup dan tidak berbangkit lagi. Namun ‘rumah siap tetapi pahat masih berbunyi’ apabila ahli dikejutkan dengan tindakan beberapa pemimpin Pas, khususnya di Selangor.
Tindakan mengkritik jawatan kuasa yang ditubuhkan kerajaan negeri diterajui Parti Keadilan Rakyat dengan menggunakan saluran media pro kerajaan Pusat adalah satu perbuatan yang boleh dianggap ‘kawan makan kawan’ yang boleh menghancurkan PR dan mendekatkan Pas dengan Umno. Jadi, tanggapan majoriti ahli bahawa parti akan bergabung dalam gagasan BN ada asas-asas kukuh.
Sejak idea kerajaan perpaduan didendangkan, parti menjadi haru-biru. Di Perak, ketika YB Nizar Jamaludin bersusah payah untuk menegakkan kembali kerajaan PR, pemimpin Pas di peringkat pusat diam menikus. Di Selangor, nasib pemimpin Pas yang pro-PR dipecat dan diganti dengan batang tubuh yang pro-kerajaan perpaduan.
Di Kelantan pula, ketika Nik Aziz dan Husam Musa bertungkus-lumus membuat surat untuk mendesak Kerajaan Pusat supaya membayar royalti petroleum, pemimpin Pas peringkat pusat diam seribu bahasa. Kalau dalam urusan peminangan, diam si dara tanda bersetuju. Tetapi dalam politik, tidak bersuara bermakna si tokoh terbabit gagal membela ahli parti yang teraniaya.
Kepada pemimpin Pas, mereka tidak perlu berdalih lagi. Parti sememangnya dalam situasi bermasalah. Kalau tidak, mengapa ada kontradiksi antara pucuk pimpinan? Bagi ahli marhain, isu ini dianggap serius dan boleh menghancurkan parti jika gagal ditangani dengan seberapa segera. Bagi mereka, hanya ada satu cara sahaja untuk mengatasi masalah ini. Muktamar Khas!
Jumaat, 18 Jun 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan